Singgah di masjid
Mutaakhir ini banyak kedapatan para pengantin singgah di masjid sebelum melangkah ke rumah pasangannya. Semalam, selepas shoping di `Terus Maju`Temerloh, saya ke masjid terdekat di Paya Luas untuk solat zohor. Dari jauh saya nampak banyak kereta di pekarangan masjid. Apabila sampai, nampaklah pengantin bertanjak sedang di makeup di beranda masjid. Ketika itu juga azan dikumandangkan. saya berwuduk dan masuk ke masjid. Pengantin pula diiringi oleh sanak saudara masuk ke kereta menuju rumah pasangannya.
Cari jalan
Pemandangan begini sudah banyak saya temui. Selepas solat saya termenung memikirkannya. kenapa tak solat dulu, lepas tu pergilah kerumah kenduri. apa salahnya, apa cacatnya, apa celanya. Marilah kita fikir bersama mencari jalan bagaimana nak buat supaya semua orang dapat solat berjamaah, sama ada pengantin lelaki, para tetamu jemputan, pekerja kenduri, tuan rumah dan semua orang yang terlibat boleh sama-sama mengerjakan solat berjamaah tanpa menjejaskan majlis kenduri dan program pernikahan.
Alternatif
Biasanya kenduri bermula jam 12.00 tengahari dan berakhir 4.00 petang. Masa ini melibatkan waktu zohor. Di tempat saya sendiri, Taman Temerloh Jaya pun begitu. Semasa azan zohor berkumandang, para tetamu berpusu-pusu datang ke rumah kenduri (bukan berpusu ke masjid), menjadikan orang yang hendak ke masjidpun rasa segan, seolah-olahnya alim sangat, warak sangat. Setelah lama merenung, timbul fikiran, apa kata kalau kita ubah masa jamuan, masa kenduri. Kita awalkan sedikit. Kita mula pukul 10.00 pagi dan tamat jam 12.00 tengahari. Lepas tu kita bolehlah pergi solat beramai-ramai. Para jemputan pergi, pengantin pun pergi. Tuan rumah pergi, para pekerja (rewang) pun pergi. Saya fikir cara ini tidak mencacatkan sesiapa.
Dalih
Bagi mereka yang tidak mahu solat berjamaah, dia akan mengemukakan berbagai dalih atau alasan bagi menolak cadangan ini. Tak kesahlah. Tapi, mari kita fikirkan jalan bagaimana nak laksanakan sunah nabi solat berjamaah ini, bukan fikir cara untuk menggagalkannya. selama ini memang dah gagal. Sekarang kita fikirkan cara nak laksana. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.
Musim Cuti
Tak lama lagi cuti sekolah, banyaklah majlis kenduri kahwin. Masjid Taman Temerloh Jaya pun dah banyak menerima tempahan daripada pasangan yang hendak melangsungkan majlis akad nikah di masjid. Elok sangatlah tu, kita mulakan ikatan perkahwinan di masjid, di rumah Allah. Mohon restu agar perkahwinan ini diberkati. Tapi janganlah tak solat. Kenalah pengantin, pengiring dan semua yang hadir solat. Kalau tak bertembung dengan waktu solat fardhu, sekurang-kurangnya solatlah tahiyyatul masjid dua rokaat. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita dan Allah pilih saya dan tuan-tuan solat berjamaah di masjid lima kali sehari, tiap-tiap hari dan tiap-tiap waktu sehingga kita mati. Amin.
No comments:
Post a Comment