Kemalangan
Saya sedar suatu masa saya akan mati, cuma tak tahu bila masanya. Apabila saya kemalangan, kereta termasuk gaung di Felda Melati dan paha saya patah, saya terasa kematian sudah sangat hampir. Saya tak boleh keluar dari kereta yang terbalik itu sehinggalah bantuan sampai. Semasa terbaring menunggu ambulan, saya bertanya, pukul berapa, saya diberitahu pukul 7 petang. Saya bimbang tak dapat solat. Saya dibawa ke hospital Muazam dan di Xray. doktor maklumkan paha saya patah dan terpaksa di hantar ke hospital kuantan. Sementara menunggu, saya solat maghrib dan isyak secara jamak dan qasar.
Di wad.
Saya dimasukkan ke wad di hospital Kuantan. Doktor memaklumkan, saya akan dibedah dan ditampal plate besi bagi menyambung tulang yang patah. Oleh kerana pesakit sangat ramai, saya terpaksa menunggu giliran selama sepuluh hari. Saya tidak boleh bergerak dari katil. Untuk buang air besar dan kecil, berwuduk atau mandi (lap saja) semua dilakukan di atas katil dengan bantuan isteri.
Solat
Saya minta anak bawakan buku Yusuf Qardhawi dan Syed Sabiq, nak tahu cara solat orang sakit. Saya solat secara jamak dan kasar, berwuduk guna sprey. Saya tak nampak pesakit-pesakit lain solat, kecuali jiran sebelah katil dari Kubang Buaya (ipar cikgu Ramli Durian Tawar). Saya fikir mereka tak takut mati atau tak takut neraka. Atau tiada siapa memperingatkan mereka. Malah orang yang menunggu, ada yang bergelak ketawa macam pesta. Ada pesakit yang menyanyi. Ada yang berziarah waktu jumaat. Tiada suasana insaf atau keagamaan di hospital.
Bedah
Saya akan dibedah hari isnin. Malam itu mulalah saya berpuasa dan diambil darah serta menandatangani surat bedah dan bius. Doktor bius beritahu risiko bius adalah lumpuh. Pembedahan memakan masa selama 7 jam dari pukul 12.00 tengahari hingga 7 malam. Semasa ditolak ke bilik bedah saya membayangkan saya sedang diusung ke tanah kubur. Saat itu saya merasakan sangat hampir dengan kematian dan sangat hampir dengan Tuhan. Di situlah penyerahan diri yang sebenar-benarnya kepada Tuhan. Sebelum dibius saya ditalkinkan oleh doktor...saya beristighfar dan mengucap. Terasa suasana menghadapi kematian. Selepas pembedahan saya rasa sangat lemah. Saya minta anak bacakan surah yasin. Saya nak dengar bacaan Quran.
Balik ke rumah
Hari rabu doktor benarkan saya balik. Sebelum keluar saya diajar menggunakan tongkat (frame)dan diberi surat cuti selama dua minggu. Saya sangat lemah, nak angkat tongkat pun tak daya. Petang itu balik ke rumah di temerloh. Solat Maghrib dan Isyak dalam kereta secara jamak dan qasar. Ya Allah, aku mohon kepadamu supaya aku dapat menunaikan solat berjamaah di masjid atau surau sehinggalah aku mati. Amin.
No comments:
Post a Comment